.:: Kumpul Kawan ::.

Masa berlalu..

MHI
kebahagiaan kami

Monday, February 22, 2016

..31 minggu..

Assalamu'alaikum.. 

alhamdulillah. sudah genap 31 minggu hari ini. dengan umur dah 34 ni, kandungan kali ketiga ni terasa sedikit penat. tak segagah kandungan pertama dan kedua dulu. kehulur kehilir pergi Jalan Tar, meredah Sogo. kali ni cuma larat ke Mydin Sinar Kota. tu pun ambil sedikit masa. 

bila dah masuk ke trimester 3 ni, kepala dah mula fikir pasal tempat bersalin. tapi macam biasa, Pusrawi Kota Damansara tetap jadi pilihan utama kami.sebabnya :

1)  hospital bersalin panel
2) dekat dengan rumah. bak kata doktor zul, jalan kaki pun boleh je sampai hospital masa nak bersalin nanti.
3) doktor zul dah tau history pregnancy dan bersalin sebelum ini. terutama pasal hb low yang memang bikin panik setiap kali check di KK. dan memang tertarik hati dengan cara doktor zul layan patient.
4) Pusrawi Kota Damansara tak ramai patient. senang nak request untuk mintak bilik yang ada 2 katil, tapi taknak share dengan patient lain. mudah anak-anak & hubby nak tidur dan rehat.
5) nurse dan doktor yang fleksibel. macam bersalinkan Umar Hazim dulu, hubby dengan Haziq Iman boleh temankan dalam labour room. Haziq Iman masa tu umur 3 tahun 5 bulan, sambil pandang ummi sambil botol susu di mulut. nurse minta keluar pun selepas doktor nak pecahkan air ketuban. 15 minit kemudian bersalin. bayangkan macam mana kita cuba untuk tahan sakit depan anak. Masya Allah, kita akan jadi kuat diluar dugaan diri sendiri. sebab taknak tunjuk kesakitan tu kat anak.

tapi....

hati ni gundah gulana sikit sebab sejak cuti tahun baru cina, pusrawi tutup. tak bukak-bukak. cuma ada notis umum (closed until further notice). takde tarikh bila dibuka semula. takde sebab kenapa ditutup. macam-macam spekulasi ada dalam kepala ni. 

google dalam internet, langsung takde info. pergi ke FB pusrawi pun takde apa-apa info. bayangkan nak bersalin lagi dua bulan, hopsital tutup. nak kena buat backup plan. kat mana kita nak bersalin ni? paling dekat pun Hospital Sg Buloh. dah la dengar macam -macam cerita. gerun pun ada. hospital swasta terdekat pulak cuma ada Putra Medical Centre. tapi bila di semak, macam tak terima panel PMCare. so kalau bersalin, kena pay & claim. huhu, at least nak kena sediakan RM3000 dalam tangan. 

tak puas hati punya pasal, usahakan juga cari no telefon doktor Zul. alhamdulillah, dapat. nak call, takut ganggu doktor tengah rawat patient. mana la tau kan. so ambil keputusan untuk whatsapp je. alhamdulillah sekali lagi, doktor zul jawab. 

"pusrawi ditutup sementara sahaja untuk menyelesaikan masalah lesen hospital. bulan april sy rasa kemungkinan dah boleh beroperasi semula"

again alhamdulillah. tapi tetap kena standby. sebab ada kemungkinan jugak bulan april hospital masih tak boleh dibuka. atau mungkin diri sendiri ni yang bersalin awal dari tu..hehe..

'ala kullihal..moga Allah permudahkan urusan kami. dan kuatkan semangat kami dalam mengharungi tempoh sebelum, semasa dan selepas bersalin kelak. aamiin.

Friday, February 19, 2016

..mengandung..

Assalamu'alaikum.. 

ini kisah di pagi jumaat. sampai opis ngam-ngam pukul 8.30 sebab pagi tadi tertinggal bas awal. lewat 2 minit sampai ke hentian bas dari jadual bas bergerak. ummi berlari-lari anak di platform pasar seni mengenangkan bulan depan taknak terima surat cinta dari pihak admin. letih nak mengarang ayat alasan, kenapa punch card 8.33 ke atas. itupun nasib baik ada belas ehsan 3 minit yang sangat berharga

sampai ke workstation, hempas duduk atas kerusi dengan mengah. perut 30 minggu 4 hari minta nafas. tutup mata dalam 10 saat, dengar orang sebelah bersuara.

"eh sejuknya"
"tak selesanya"
"cam mana nak bagi panas ni? nak bancuh air panas, takde la pulak air panasnya"
"bla..bla..bla"
"bla..bla..bla"
"bla..bla..bla"

tetiba rasa annoying pulak dalam hati ni. 
"dik, pergi la masak air panas. apa masalahnya?" cakap dalam hati je la. karang nanti mulut dibuka, ada yang tersentuh hati pulak.

orang lain pun pregnant dik. tapi takde la kecoh macam awak ni dik. perut tu baru 7 minggu berisi, kecoh dah macam 70 minggu. apa awak nak satu opis tau awak pregnant? tolong la jaga sikit hati-hati yang sedang sarat bersabar menunggu peluang dikurniakan zuriat. ramai dekat opis ni dik. ramai sangat. adik takpelah, kahwin sebulan terus bunting pelamin. anak sulung baru umur 6 bulan, dah pregnant anak kedua. 2 bulan tanggalkan IUD, terus dapat rezeki ketiga. orang lain? macam-macam usaha diaorang buat, tapi belum sampai masanya.

mulut tu dik. tolong la jaga. ada ke orang kahwin yang taknak anak? yang selalu plan nak anak sekian-sekian masa tu, kebanyakkannya pelakon dengan model je. kat opis kita ni, sorang habuk pun takde bakat jadi model. tolong la fikir rasional sikit. tak perlu nak ulang-ulang suara, "akak bila nak pregnant ni?"

akak ni pregnant, 4 bulan baru awak tahu kan? senyap-senyap sudah la. bersyukur tu dalam banyak cara. tak perlu nak dicanang-canangkan sangat. ini awak nak perhatian sana sini. ye, faham orang pregnant ni selalu diberi kelebihan. tapi tak perlu la nak berlebihan. bercerita pun, dengan orang-orang terdekat pun cukup.

pagi jumaat ni dik. setiap hari akak dengar mulut awak bersuara itu ini. tapi entah kenapa hari ni akak rasa macam tak puas hati. jadi, akak terpaksa lepaskan dengan cara menulis. terima kasih la sebab bagi idea akak untuk tulis satu entri pagi ni setelah blog ni sunyi sepi.

moga Allah ampunkan dosa-dosa kita dik. akak minta maaf sebab tak puas hati. mungkin memang cara awak macam ni, tapi sesungguhnya ramai yang terguris hatinya tanpa awak sedar.

wallahu a'lam.
 

Friday, September 25, 2015

..Rindu..

Assalamu'alaikum.. 

11 Dzulhijjah 1436 Hari kedua Hari Raya Korban. 
Kalau kat Terengganu, meriah bagai nak rak. Kenduri sana sini. Meriah dengan macam-macam masakan. Ya Allah, seronoknya. Selalunya masa ni la nak request macam-macam masakan daging dengan Ma.

Tahun ni beraya di Kota Damansara je. Ni yang raya kedua dah berkampung di pejabat. Ada la 5-6 orang je yang kerja hari ni. Kena pulak SAP down hari ni. Ingatkan hari ni boleh la lepak-lepak je kat ofis. Rupanya jenuh pulak nak menjawab dekat user.

Sebenarnya rindu sangat nak balik Terengganu. Rindu teramat sangat. Nak peluk Ma. Nak bercerita dengan Ma. Nak tidur dengan Ma. Nak gelak-gelak dengan Ma. Nak dengar Ma berceloteh. Segala-galanya pasal Ma.

Haziq Iman pun asyik je sebut nama nenek. Nak beli kek harijadi nenek katanya. Sebelum ni lukis kek je.  
*Haziq Iman ni special case sikit. Sebelum ada dia, Ma dah ada 9 orang cucu. Semua panggil Ma dengan panggilan "Wan". Ayah pula dengan panggilan "Aki". Tapi dapat kat Haziq Iman, sesuka hati dia panggil nenek dengan atuk. Kekal la panggilan tu sampai sekarang. 

Rindu..
Rindu yang tak pernah putus..